MALANG TIDAK BERBAU

Happy New Year 2017!

Belum terlambat lagi rasanya nak wish

Namun, tahun baru kami disambut dengan tragedi. Tengah seronok makan dan menyembang ramai-ramai hari tu, tiba-tiba anak saya terjatuh. Muka terhantuk kat meja. Bibir, gusi berdarah. Banyak pulak darah keluar, meleleh-leleh.

Apalagi, kelam kabut lah semua orang, tambah pulak dengan anak yang menangis jadi lagi panik. Blurr kejap, tak tau nak buat apa. Nak tengok takut, tapi dah anak sendiri gagahkan jugak sebab masa tu fokus nak stopkan bleeding je.

Cepat- cepat pergi dapur , rendam kain bersih dalam air sejuk kemudian tekan lembut pada luka berdarah tu.

Alhamdulillah kejap je berdarah. Dan syukur sangat takda kecederaan major koyak atau patah.

Lepas insiden tu, baru rasa sebenarnya sangat penting kita sebagai ibubapa dan ada pengetahuan berkaitan asas-asas rawatan kecemasan. Terutama insiden yang mudah berlaku di rumah

1. BENGKAK @ LEBAM

Bila anak terjatuh dan mengalami bengkak dan kemerah-merahan, ambil pek ais/ tuaman sejuk dan letakkan di bahagian yang mengalami bengkak tersebut. Ini adalah untuk kurangkan pengaliran darah ke bahagian tersebut.

Bila bengkak dah surut , tuamkan heat pad pula pada kawasan tersebut untuk menggalakkan pengaliran darah. Pengaliran darah yang aktif akan membantu mengeluarkan darah beku pada bengkak/lebam tersebut.

Kalau ada hentakan atau kecederaan di bahagian kepala, perhatikan tingkah laku mereka utk tempoh 24 jam. Kalau ada muntah-muntah atau perubahan tak normal, segara bawa ke klinik atau hospital.

2. LUKA BERDARAH

Hentikan pendarahan dengan meletakkan kain bersih/ tuaman sejuk pada luka. Tekan secara lembut dengan jari atau tangan (Tekanan Tepat). Ais/air sejuk akan menyebabkan salur darah menyempit & memperlahankan aliran darah ke kawasan luka.

Apabila pendarahan berhenti, balut dengan kain bersih.

Kalau kat luka tu ada objek asing seperti paku, kaca atau pisau, jangan tekan pada luka tersebut.

Balut sekeliling objek tersebut dengan kain bersih dan dapatkan rawatan lanjut SEGERA, sekiranya darah tidak berhenti.

3. TERKENA AIR PANAS ATAU MELECUR RINGAN

Siram/lalukan air paip pada bahagian yang melecur berterusan, sekurang-kurangnya selama 20 minit atau lebih sehingga anak tak lagi berasa sakit dan tiada lagi kesan merah pada bahagian tersebut.

Jika anggota melecur ditutupi dengan sebarang objek, seperti lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.

TETAPI AWAS! jangan tanggalkan pakaian atau apa sahaja yang melekat dikulit. Ia sangat menyakitkan!

Lepas tu, tutup bahagian yang terbakar dengan kain yang bersih, ringan dan tidak berbulu supaya luka tersebut tidak terdedah dan menyebabkan jangkitan masuk ke dalam tubuh badan seterusnya menjadikan keadaan bertambah buruk.

Sekiranya terdapat gelembung cecair selepas beberapa hari, jangan pecahkan gelembung cecair tersebut kerana ia akan menyebabkan jangkitan kuman.

4. KEBAKARAN @ MELECUR YANG SERIUS

Hubungi pihak hospital dan sekiranya anak kita mampu bergerak, bawa ke hospital SEGERA. Dalam masa itu, baringkan anak anda dan tutup bahagian terbakar dengan tuala yang telah direndam dengan air sejuk untuk mengurangkan rasa panas. Jangan letak ais dibahagian yang terbakar, ianya boleh menyebabkan tisu kulit tersebut menjadi rosak.

Selepas beberapa ketika, alihkan tuala basah tersebut dan tutup bahagian yang terbakar dengan kain bersih yang kering, ringan dan tidak berbulu.
Semasa menunggu kedatangan ambulans atau dalam perjalanan ke hospital, periksa kadar pernafasan dan nadi setiap 10 minit.

PENTING: Jangan letakkan sebarang benda lain pada kawasan yang melecur, seperti minyak masak, susu, kicap, serbuk kopi, madu, ubat gigi dan sebagainya. Ini hanya akan merumitkan kerja doktor untuk mencuci kawasan yang melecur tersebut. Dan of course, akan bertambah sakit.

5. TERCEKIK

Untuk Anak berumur 1-2 tahun:

Pangku anak di atas lengan anda. Pastikan kepala anak menghadap ke bawah. Kemudian tepuk di bahagian belakang di antara tulang belikat. Jangan tepuk terlalu kuat.

Periksa bendasing dikerongkong atau mulut (jangan korek dengan jari). Alihkan bendasing sekiranya kelihatan.

Anak berumur 3-4 tahun

Ada beberapa cara;

1) Tanyakan kepada anak sama ada mereka boleh batuk atau boleh bercakap?
Jika masih boleh bercakap dan batuk bermakna saluran pernafasan tidak tersekat sepenuhnya. Suruh teruskan batuk.
Bongkokkan badan mereka, dan paksa untuk batuk sekuat-kuatnya dan cuba tepuk beberapa kali di bahagian belakang.

2) Letakkan anak anda di atas peha dengan kepala menghadap ke bawah. Seperti meniarap atau dengan cara lain tundukkan mereka. Kemudian tepuk bahagian belakang di antara tulang belikat

3) Gunakan tujahan abdomen Heimlich Maneuvre (<– sila google macam mana).
Ulang sehingga bahan yang menyebabkan anak anda tercekik keluar.

4)Jika anak tidak sedarkan diri, berikan bantuan pernafasan , CPR (<— yang ni kena belajar) dan bawa SEGERA ke hospital.

6. GIGITAN & SENGATAN

Tuamkan dengan ais untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak. Untuk gigitan berbisa, jangan sekali-kali mencuci, memotong atau menghisap bisa dari bahagian gigitan. Jangan buat power macam dalam movie pulak, silap haribulan dengan maknya pitam.

Kurangkan pergerakan pada tempat yang terkena gigitan/sengatan.

Jangan ikat @ pasang torniquet kawasan yang terlibat. Ini tak membantu menyekat penyebaran bisa pun. Tambah sakit ada.

Elakkan dari memicit kantung racun kerana ini akan menyebarkan racun berkenaan tersebar ke bahagian lain dalam badan.

Bawa ke hospital dengan kadar segera.

7. TULANG PATAH

Minimumkan pergerakan, kalau boleh bahagian yang patah jangan digerakkan langsung. Rawat dan hentikan pendarahan luka jika ada. Jangan tekan pada luka sekiranya ada tulang terkeluar.

8. RENJATAN ELEKTRIK

PENTING: Pastikan tutup punca utama elektrik terlebih dahulu sebelum bagi bantuan. Ini selalu orang tersilap, tambahan pulak yang terkena renjatan anak sendiri. Kita terus pegang dia, dan akhirnya dua-dua tidak dapat diselamatkan.

Jangan beri air atau alkohol kepada mangsa. Jika mangsa muntah, pusingkan kepala ke sisi (elak muntah tersebut masuk semula kedalam mulut)

9. TERTELAN UBAT @ RACUN

Periksa pernafasan anak anda. Bawa berjumpa dengan doktor SEGERA kerana jika mereka tertelan racun mahupun ubat, ia akan mengganggu sistem dalam badan anak anda.

Cuba untuk galakkan anak muntah dengan menjolok kedalam mulut (jangan sampai luka). Tindakan awal seperti sangat penting, sebab bahan bertindak balas sangat pantas.

10. LEMAS (di bilik air @ akibat bermain plastik)

Jika anda lihat anak anda tidak sedarkan diri, lakukan bantuan pernafasan (CPR <— yang ni krna belajar). Periksa kadar pernafasan dan nadi setiap 10 minit. Dapatkan bantuan pegawai perubatan dengan segera.

Yang paling penting sekali, jangan panik. Ada satu kata-kata kepada orang yang belajar berenang,

“ Water wouldn’t kill you, but panic will.”

Bila berlaku apa-apa insiden perkara pertama sekali bertenang dan kemudian baru ambil tindakan. Tapi jangan ambil masa lama sangat untuk bertenang. Haha.

Dan kalau nampak anak anda menunjukkan tanda tidak sedar atau separa sedar, darah yang tidak berhenti atau sesuatu yang diluar kemampuan kita dapatkan bantuan daripada pegawai perubatan secepat yang mungkin. Jangan bertangguh!!!.

DISCLAIMER: Konsep rawatan kecemasan bukan bermakna anda boleh lakukan sendiri tanpa mendapatkan bantuan pakar. Ia bukan juga rawatan alternatif. Tetapi ia adalah perkara yang boleh kita lakukan sementara menunggu mendapatkan bantuan kecemasan di hospital @ klinik.

Semoga kita dan keluarga sentiasa dilindungi dari perkara2 bahaya & yang tidak diingini

Rajin pulak aku taip panjang2 kan. Tapi tu la, bila dah kena baru terasa.

Semoga dengan pengetahuan & tips ringkas ni dapat menyelamatkan nyawa anak kita. Siapa tak sayang anak oiii~~~

– Che Siti – (https://www.facebook.com/thechildhood1/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *